MATTA tak puas hati larangan surcaj kad kredit

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tidak berpuas hati dengan larangan surcaj terhadap pembayaran melalui kad kredit kerana ia boleh mendatangkan kesulitan kepada ahlinya dan juga pelancong.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata agensi pelancongan dan syarikat pengembaraan beroperasi dengan margin yang rendah, tidak seperti gedung runcit di pusat membeli-belah.

"Disebabkan itu, surcaj perlu dikenakan terhadap pembayaran melalui kad kredit untuk memperoleh kembali kos kadar diskaun peniaga (MDR) yang dikenakan oleh bank," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, cara mudah untuk agensi pelancongan dan syarikat pengembaraan adalah memasukkan MDR ke dalam harga, tetapi ini tidak adil kepada sebilangan besar pelanggan yang membayar secara tunai, melalui cek atau dalam talian.

"Ia memberi lebih kebaikan kepada pengguna apabila bayaran dikenakan lebih telus dan dikenakan serendah mungkin," tambahnya.

Menurut Kok Liang, tindakan terhadap syarikat pengendali pelancongan yang cuba memperoleh kembali kos MDR hanya akan memberi kesan sebaliknya.

"Adalah lebih baik untuk Bank Negara Malaysia memikirkan kemungkinan menghapuskan MDR atau mengurangkan kadarnya untuk jumlah bayaran yang besar. Ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan perniagaan, selain memacu pertumbuhan bayaran tanpa tunai di Malaysia," katanya.

Namun begitu katanya, ahli MATTA perlu mematuhi kod etika persatuan, termasuk menjalankan operasi perniagaan yang sah dengan cara yang adil dan telus.

Bank Negara dalam kenyataannya kelmarin, melarang peniaga mengenakan caj tambahan untuk pembayaran menggunakan kad debit dan kredit seperti yang dinyatakan di bawah Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran.

Bank Pusat itu menasihat pengguna yang berdepan dengan situasi di mana peniaga mengenakan caj tambahan, untuk membuat aduan kepada bank atau pengeluar kad pembayaran berkenaan. - BERNAMA