MATTA Dakwa Tour Buddy Menyalahi Undang-Undang

KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) membantah perkhidmatan Tour Buddy dilaksanakan di Malaysia.
Presidentnya, Datuk Tan Kok Liang mendakwa, perkhidmatan tersebut telah melanggar undang-undang Akta Industri Pelancongan 1992.

Menurut beliau, berdasarkan akta itu tiada syarikat pelancongan berdaftar dibenarkan melantik pemandu pelancong yang tidak berlesen.

“Tidak kira sama ada digelar Tour Buddy, selagi perkhidmatan tidak berbeza dengan pemandu pelancong dan mengenakan bayaran maka ia salah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Program Tour Buddy diusahakan oleh Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) dengan kerajasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Program ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai penduduk kampung terutama golongan B40 dapat menceburi industri pelancongan.

Mereka malah boleh berfungsi seperti tuan rumah atau hos tanpa perlu melalui tour agent dan tour guide untuk membawa pelancong.

Mereka terlebih dahulu akan diberikan latihan selama sebulan serta menggunakan aplikasi mudah alih untuk menjalankan perkhidmatan tersebut. – MYNEWSHUB.CC