Penambahan bidang Umrah untuk lesen baharu beri manfaat: MATTA

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berkata pengenalan kepada penambahan bidang umrah bagi pelesenan umrah tahun 1441H berkuat kuasa 1 Sept lepas akan memperbaiki lagi proses pelesenan agensi atau ahli MATTA pada masa ini dan akan datang.

Timbalan Presidennya Mohd Akil Mohd Yusof berkata cadangan yang akan diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni danmBudaya itu adalah selaras dengan peraturan dan perubahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi dalam visi mereka untuk mencapai sasaran 30 juta jemaah menunaikan umrah pada 2030.

"MATTA mengalu-alukan pengenalan kepada penambahan bidang umrah itu yang akan memperbaiki lagi proses pelesenan agensi atau ahli MATTA pada masa ini dan akan datang.

"Tahun ini bila kita perbaharui lesen ada penambahan bidang (umrah) dari segi inbound, outbound dan tiket yang mana dalam outbound itu ada penambahan yang dipanggil 'Umrah'," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Katanya, antara perubahan dari segi peraturan yang ditetapkan kerajaan itu adalah pengenalan kepada kaedah baharu bagi permohonan visa umrah termasuk penempahan hotel menerusi sistem platform khas yang disediakan.

Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pembatalan yuran visa umrah berulang RM2,300 (2,000 Riyal) walaupun yuran umrah telah dinaikkan daripada RM230 (200 Riyal) kepada RM350 (300 Riyal) berkuat kuasa 9 September lepas.

Kenaikan yuran visa itu memberi kesan menyebabkan peningkatkan kos kirakira RM560 seorang untuk pakej umrah.

Ekoran perubahan itu,MATTA bersama kementerian mengambil inisiatif memberi penerangan kepada agensi dan ahli yang terlibat selain menyuarakan pandangan kepada pihak kerajaan Arab Saudi di Malaysia akan keperluan dan kehendak bersesuaian dengan rakyat di negara ini.

"Kita di Malaysia perlu cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk bersama-sama dengan kementerian memperkasakan perubahan yang mereka lakukan.

"Saya mohon ahli kami tidak ambil jalan singkat atau mengambil peluang ini untuk membuat perkara yang kita tidak mahu lihat seperti terlalu menaikkan harga pakej. Saya juga minta orang awam faham penambahan ini bukan kita yang rancang tetapi dimaktubkan oleh kerajaan Arab Saudi," katanya.

Kira-kira 278,000 purata rakyat Malaysia menunaikan umrah pada 1440H berbanding 249,000 orang pada tahun sebelumnya iaitu penambahan kira kira 30,000 rakyat Malaysia. — Bernama