Sabah, MATTA kerjasama sedia pakej terokai Tawau

TAWAU: Kerajaan negeri akan memperkenalkan pakej percutian dengan kerjasama ejen pelancongan tempatan dan luar negara bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew, berkata Tawau adalah sebuah daerah yang memiliki banyak lokasi menarik untuk diterokai, selain kaya dengan budaya dan pelbagai jenis makanan laut pada harga murah.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kerajaan negeri akan melancarkan program Cuti-Cuti Tawau tahun depan, disusuli Tahun Melawat Tawau pada 2020.

"Semua program ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) serta pengusaha pelancongan dari luar negara seperti China dan Eropah.

"Kedatangan pelancong ke daerah ini sudah tentu dapat meningkatkan ekonomi penduduk dari segi pendapatan, khususnya pengusaha pelancong," katanya selepas merasmikan Pakej Pelancongan Tawau di sini, semalam.

Yang turut hadir, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P Alian dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil.

Sementara itu, Kok Liang berkata, terdapat 20 agensi pelancongan di Tawau dan Semporna yang akan terbabit dalam usaha memajukan industri pelancongan di daerah ini.

Katanya, MATTA menawarkan 30 pakej pelancongan serendah RM225 seorang untuk menikmati keindahan flora dan fauna serta kepelbagaian jenis makanan laut di daerah ini.

"Kita akan mempromosi daerah ini menerusi pameran MATTA di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Kita akan jemput wakil media dan ejen pelancongan luar bagi menerangkan kelebihan dan keunikan Tawau," katanya.

Antara pakej ditawarkan, pelancong akan dibawa melawat lokasi menarik sekitar daerah ini sebelum dibawa terus ke pulau peranginan seperti Mabul, Kapalai dan Sipadan dari Sipadan Mangrove Resort tanpa perlu ke Semporna.

Beberapa lokasi menarik di Tawau ialah ladang koko, lokasi sarang burung, Taman Bukit Tawau dan Pasar Tanjung yang menjual pelbagai jenis makanan basah dan kering.

 

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/07/448914/sabah-matta-kerjasama-sedia-pakej-terokai-tawau