MATTA Bakal Lancar Platform Digital Tempahan Hotel Tahun Hadapan

IPOH: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia  (MATTA) merancang untuk mewujudkan sebuah platform digital yang membolehkan orang ramai membuat tempahan hotel di negara ini.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, initiatif itu akan dilancarkan pada Jun tahun hadapan yang mana ianya akan turut bersaing dengan platform digital lain seperti Booking dan Agoda.

Jelasnya, sebelum ini MATTA sudah pun mempunyai platform sedemikian cumanya ia dilihat kurang efektif dan tidak mampu menyaingi platform digital yang sedia ada, khususnya daripada luar negara.

“Kita akan bekerjasama dengan Persatuan Pengusha Hotel Malaysia supaya hotel yang kita senaraikan nanti adalah yang terbaik berbanding dengan yang disenaraikan medium digital lain,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam merealisasikan perancangam tersebut, MATTA juga akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan dan agensi pelancongan tempatan lain.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahunan MATTA di Hotel Weil, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta isteri, Dr Nomee Ashikin Muhammed Radzi.

Ketika berucap merasmikan majlis, Ahmad Faizal berkata, Kerajaan Negeri kini sedang berbincang dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dalam usaha menaik taraf Jambatan Victoria Kuala Kangsar dan Stesen Keretapi Tanah Melayu  (KTM) Ipoh sebagai salah satu tarikan pelancongan.

Jelasnya, kedua-dua kawasan tersebut khususnya Hotel Majestic yang berada di Stesen KTM Ipoh mempunyai potensi besar untuk dijadikan pusat tarikan pelancong.

Ujarnya ini kerana ia merupakan tempat tumpuan orang ramai bagi  menggunakan perkhidmatan kereta api di situ.

Pada majlis tersebut, Ahmad Faizal turut berkesempatan beramah mesra dengan sekitar 1,000 wakil MATTA daripada seluruh negara .

 

Source: https://peraktoday.com.my/2018/07/matta-bakal-lancar-platform-digital-tempahan-hotel-tahun-hadapan/