Unjur 1.5 juta pelancong Eropah

Kuala Lumpur: Tourism Malaysia menyasarkan 1.5 juta pelancong Eropah akan melawat Malaysia tahun ini, meningkat kira-kira setengah juta pelancong berbanding tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab berkata, peningkatan itu bakal disumbang pelbagai inisiatif yang sedang digerakkan Tourism Malaysia dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) khusus bagi menarik lebih ramai pelancong Eropah ke negara ini.

Beliau berkata, tahun lalu Malaysia menerima kemasukan 906,641 pelancong dari Eropah berbanding 955,836 pelancong tahun sebelumnya.

“Terdapat pelbagai faktor mengapa kemasukan pelancong Eropah ke negara ini lebih rendah berbanding dari negara lain dan antara penyumbang utama ialah isu berkaitan penyambungan laluan udara.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan luar, seperti KLM, Turkish Airlines dan Singapore Airlines, berhubung isu penyambungan itu dan hasilnya adalah positif.

“Januari dan Februari tahun ini menyaksikan kemasukan pelancong yang lebih ramai dari Eropah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Eropah (ECTAA) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang, Presiden ECTAA Merika Hallik dan Ketua Setiausahanya Michel De Blust.

Mirza berkata, pihaknya menyasarkan 1.5 juta pelancong Eropah akan melawat Malaysia tahun ini, 1.6 juta (2019) dan 1.7 juta (2020).

ECTAA memilih Malaysia sebagai lokasi Mesyuarat Separuh Tahun ECTAA ke 117.

Ia adalah lokasi pertama mesyuarat persatuan itu diadakan di luar Eropah.

Sementara itu, Kok Liang berkata pihaknya akan menyertai lebih banyak pameran perdagangan di Eropah dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, dan pada masa sama menjemput lebih ramai ejen pelancongan Eropah ke Malaysia bagi meninjau penawaran menarik yang ditawarkan Malaysia.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2018/05/337594/unjur-15-juta-pelancong-eropah