MATTA jalin kerjasama perjalanan umrah

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) baru baru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Asfar, Arab Saudi serta Pameran dan Konvensyen Fursan bagi mempromosi dan meningkatkan perjalanan umrah ke Arab Saudi. MoU berkenaan antara lain membolehkan ketiga-tiga pihak bekerjasama melalui rangkaian, pemasaran dan aktiviti promosi antara ejen pelancongan di kedua - dua negara terbabit.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Shahrulnezam Mohd Daud, berkata elemen utama memorandum itu adalah untuk menganjurkan sesi umrah perniagaan ke perniagaan (B2B) pertama yang dijadualkan berlangsung pada 2 Julai 2018 di Kuala Lumpur.

Tingkat perjalanan umrah

“Ada kira-kira sejuta jemaah yang melaksanakan umrah dan haji pada setiap tahun di rantau ini dan kami mengambil peluang membentuk perjalanan umrah dan memudahkan perniagaan operator pelancongan Bumiputera apabila bertemu dengan rakan dari Arab Saudi,” katanya pada majlis memeterai MoU itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengerusi Kerajaan Asfar, Samir Abdul Fatani dan Pengerusi Pameran dan Konvensyen Fursan, Zairul Annuar Mohd Zin.

Shahrulnezam berkata, kerjasama positif antara semua pihak dilihat akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan perjalanan umrah ke tahap lebih tinggi, menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada ahli bagi bertukar idea, membina rangkaian perkongsian dan mengembangkan perniagaan mereka di pasaran.