MATTA tidak puas hati larangan surcaj terhadap kad kredit

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tidak berpuas hati dengan larangan surcaj terhadap pembayaran melalui kad kredit kerana ia boleh mendatangkan kesulitan kepada ahlinya dan juga pelancong.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, agensi pelacongan dan syarikat pengembaraan beroperasi dengan margin yang rendah, tidak seperti gedung runcit di pusat beli-belah.

"Disebabkan itu, surcaj perlu dikenakan terhadappembayaran melalui kad kredit untuk memperoleh kembali kos kadar diskaun peniaga (MDR) yang dikenakan oleh bank," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya , cara mudah untuk agensi pelancongan dan syarikat pengembaraan adalah memasukkan MDR ke dalam harga, tetapi ini tidak adil kepada sebilangan besar pelanggan yang membayar secara tunai, melalui cek atau dalam talian.

"Ia memberi lebih kebaikan kepada pengguna apabila bayaran dikenakan lebih telus dan dikenakan serendah mungkin," tambahnya.

Tan berkata, tindakan terhadap syarikat pengendali pelancongan yang cuba memperoleh kembali kos MDR hanya akan memberi kesan sebaliknya.

"Adalah lebih baik untuk Bank Negar a Malaysia memikirkan kemungkinan menghapuskan MDR atau mengurangkankadarnya untuk jumlah bayaran yang besar. Ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna dan perniagaan, selain memacu pertumbuhan bayaran tanpa tunai di Malaysia," katanya.- Bernama