MATTA mohon laksana segera pakej rangsangan

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri pelancongan yang sudah merasai impak penularan koronavirus, kata Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, kesan penularan virus itu terhadap sektor pelancongan negara mula dilihat dengan kehadiran pelancong di bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu merosot ketara.

“Justeru, saya gesa kerajaan laksana pakej rangsangan ini. Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia.

“Saya difahamkan kerajaan akan mengkaji dan membuat keputusan namun seperti saya katakan, jika berjalan di bandar utama anda dapat lihat kurangnya pelancong asing di sini,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti-Cuti Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, MATTA mengemukakan dua cadangan baharu terhadap kerajaan supaya dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi. Katanya, cadangan itu memberi potongan cukai berganda kepada syarikat yang menghantar pekerjanya menjalani latihan atau program ‘membina pasukan’ di acara mesyuarat, insentif, persidangan, pameran (MICE) dalam negara. Untuk individu, katanya, MATTA mencadangkan pengecualian cukai sehingga RM2,000 untuk pakej pelancongan domestik dibeli daripada syarikat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.