MATTA gesa segerakan pakej rangsangan ekonomi

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan segera melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri pelancongan yang kini sudah merasai impak penularan coronavirus.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata kesannya dapat dilihat dengan kehadiran pelancong di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu berkurangan dengan ketara.

“Saya difahamkan kerajaan akan mengkaji dan membuat keputusan, tetapi seperti saya katakan, jika anda berjalan di bandar utama-utama, anda akan dapat lihat kurangnya pelancong asing di sini.

“Jadi saya menggesa kerajaan supaya segera laksana pakej rangsangan ini. Tidak perlu kaji terlalu lama dan buat keputusan dengan segera supaya kami boleh memberi fokus terhadap tugas utama kami iaitu untuk mempromosikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia buat julung kali di pejabatnya di sini, semalam. Pameran berkenaan akan diadakan pada 4 hingga 5 April ini bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan penyertaan lebih 200 pempamer.

MATTA juga mengumumkan pemberian diskaun 40 peratus sewa kepada pempamer yang menyertai pameran berkenaan. Persatuan itu turut mengumumkan penundaan Pameran MATTA yang sepatutnya berlangsung pada Mac ini kepada 1-3 Mei depan.Dalam pada itu, Kok Liang juga mengesahkan dakwaan yang mengatakan lebih 95,000 tempahan hotel di seluruh negara telah dibatalkan setakat ini membabitkan anggaran kerugian RM40 juta.

“Ya ia (pembatalan tempahan) adalah benar. Kebanyakan pembatalan tempahan ini adalah dari pelancong China,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, MATTA mencadangkan dua cadangan baharu terhadap kerajaan supaya dapat dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi.

Katanya,ia adalahmemberipotongan cukai berganda kepada syarikat yang menghantar pekerjanya menjalani latihan atau program ‘team building’ di acara mesyuarat, insentif, persidangan, pameran (MICE) di  dalam Malaysia.

Selain itu katanya, untuk individu, pihaknya mencadangkan pengecualian cukai hingga RM2,000 untuk pakej pelancongan domestik yang dibeli syarikat berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.