Lebih banyak perlu dilakukan untuk tarik pelawat China - MATTA

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berpandangan ada keperluan untuk menyemak semula asas-asas pelancongan negara ini agar terus berdaya saing, terutama dari segi menarik lebih ramai pelancong China.

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata selain Malaysia, lebih 100 negara sedang berusaha memikat pelancong dari China yang kini mempunyai banyak pilihan.

Semakan semula itu katanya harus merangkumi isu seperti visa, pengalaman ketibaan di lapangan terbang, lebih banyak outlet dengan kemudahan pembayaran mudah alih seperti Alipay dan WeChat Pay selain menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih baik.

“Pelancong China semakin sofistikated, mahukan pengalaman tempatan yang lebih bermakna dan kegiatan pelancongan yang unik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam soal ini, beliau berkata: “Malaysia perlu meningkatkan usaha dalam mengenal pasti keinginan pasaran dan mempromosikannya sebaik mungkin.”

-- BERNAMA

 

Source: http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1654081