Perak promosikan pelancongan agro, arkeologi, bangunan warisan

IPOH: Kerajaan negeri bersama Tourism Perak sedang mempertimbang strategi memanfaatkan sektor agro dan arkeologi dalam usaha lebih komprehensif memasarkan produk pelancongan di Perak.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, berkata tarikan lain di luar produk pelancongan umum perlu turut diteliti dan diketengahkan bagi menggamit kedatangan lebih ramai pengunjung.

"Perak ada Taman Negeri Royal Belum dan Lembah Lenggong yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Pengiktirafan badan dunia berkenaan perlu dimanfaat dengan memikirkan semula cara mempromosikan khazanah negara itu dalam pasaran domestik dan luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), di sini, malam tadi.

Bagi mencapai matlamat itu, Ahmad Faizal berkata, pakej pelancongan ditawarkan sebelum ini perlu dilihat semula.

Sebagai contoh, beliau berkata, mengambil langkah mewujudkan pameran kebudayaan di Lembah Lenggong bagi menambah daya tarikannya dalam kalangan pelawat tempatan dan asing.

Di samping sektor agro dan arkeologi, katanya, beberapa bangunan warisan berpotensi menjadi produk baharu pelancongan juga sudah dikenal pasti.

Antaranya, beliau berkata, Jambatan Victoria, Stesen Kereta Api Ipoh di mana terletaknya Hotel Majestic yang bersejarah, dan beberapa hartanah lain milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang boleh ditingkatkan sebagai lokasi pelancongan.

"Misalnya, Hotel Majestic berpotensi menjadi tarikan pelancongan apabila pelawat tempatan dan asing menggunakan perkhidmatan kereta api untuk ke Ipoh, namun menyedihkan apabila bangunan itu ditinggalkan dalam keadaan usang," katanya.

Ahmad Faizal berkata, pada masa sama, pelabur juga digalakkan membina lebih banyak hotel untuk menampung peningkatan jumlah pelancong.

"Itu antara perancangan bagi meningkatkan kedudukan Perak sebagai tarikan pelancongan bertaraf dunia.

"Semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama mencapai impian ini. Saya yakin mendapat sokongan daripada ahli MATTA, terutama MATTA Perak, dalam usaha menyusun pakej pelancongan mempromosikan negeri ini ke arah pertumbuhan pelancongan mampan dan konsisten," katanya.

Foto Muhaizan Yahya

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/07/446515/perak-promosikan-pelancongan-agro-arkeologi-bangunan-warisan