Imam, bilal diperguna sindiket tipu pakej umrah

GOLONGAN imam dan bilal masjid dikesan dijadikan ‘kambing hitam’ oleh individu tidak bertanggungjawab bagi menipu orang ramai menyertai pakej umrah murah di Kelantan.

Perkara itu didedahkan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Negeri Kelantan yang merekod 3,000 kes penipuan umrah pada tahun lalu.

Pengerusinya Ahmad Farouk Zawawi berkata, penipuan itu membabitkan anggaran kerugian RM10 juta dengan lebih 3,000 mangsa.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa tipu itu ditawarkan pakej umrah dengan bayaran serendah RM3,500 dengan kononnya bayaran selebihnya ditanggung kerajaan Arab Saudi sebagai zakat bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

“Mereka mempergunakan bilal dan imam masjid bagi mendapatkan lebih ramai mangsa.

“Antara taktik licik digunakan adalah membawa bilal dan imam ini terlebih dulu melaksanakan ibadat umrah dengan harga lebih murah.

“Individu terbabit turut mempengaruhi serta memujuk imam dan bilal untuk mempromosikan pakej umrah murah yang sebenarnya tidak wujud,” katanya ketika ditemui dalam Ekspo Pelancongan 2018 anjuran MATTA Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Farouk berkata, atas dasar kredibiliti imam dan bilal, masyarakat akan percaya dan bersetuju dengan tawaran pakej umrah itu yang dilaksanakan agensi pelancongan sebenarnya tidak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.

Beliau berkata, jika penipuan berlaku, mereka bukan saja malu kerana tidak dapat menunaikan umrah, malah kerugian duit tidak dapat dikembalikan semula kerana segala dokumen lengkap perjanjian dan jaminan diberikan adalah palsu dan agensi tidak berdaftar atau individu itu akan terus menghilangkan diri sebaik menerima bayaran daripada mangsa.

“Sebaiknya masyarakat perlu terus mendapatkan khidmat pelancongan bersama agensi berdaftar supaya lebih terjamin keselamatan dan perjalanannya.

“Sekiranya berlaku penipuan, pihak kerajaan boleh mengenakan tindakan kepada agensi pelancongan berkenaan atau menarik balik lesen selain memudahkan urusan undang-undang, jadi sebaiknya dapatkan maklumat jelas berkenaan syarikat dan pakej pelancongan termasuk umrah ditawarkan,” katanya.