MATTA jangka pelancong dari India meningkat

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan memperkenalkan jadual perjalanan baharu dan pakej pelancongan menarik bagi menggalakkan lebih ramai pelancong India melawat Malaysia.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata MATTA memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan beberapa persatuan pengembaraan dan pelancongan India untuk merancakkan lagi pelancongan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, Malaysia bersedia untuk menerima pelancong asing termasuk dari India sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 dan menerusi kerjasama strategik dengan persatuan pengembaraan dan pelancongan India akan memanfaatkan kedua-dua negara.

“Jumlah pelancong dari India mencatatkan peningkatan dari 552,739 pada 2017, 600,311 pada 2018 dan 750,000 dijangka pada 2019, meningkat sebanyak 23.2 peratus.

“Sasaran ini boleh dicapai kerana Kerajaan Malaysia melanjutkan sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI), dengan mengecualikan pelancong dari India dan China daripada memohon visa untuk lawatan sehingga 15 hari.

“Berikutan promosi hangat oleh Tourism Malaysia, yang disokong oleh MATTA, kami percaya bahawa pertumbuhan akan disokong oleh peningkatan dalam kesalinghubungan udara, pembangunan produk pelancongan baharu dan keupayaan untuk menampung lebih ramai pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan pemeteraian MoU antara MATTA dengan Travel Agents Association of India (TAAI), Travel Agents Federation of India (TAFI) dan Outbound Tour Operators Association of India (OTOAI) di India, di Kuala Lumpur, semalam.

Perjanjian persefahaman itu dimeterai oleh Kok Liang, Presiden TAAI, Jyoti Mayal;Pemangku Presiden TAFI, Pradip Lulla dan Setiausaha Agung OTOAI, Shravan Bhalla.

Ia disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakthiar Wan Chik dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid.

Kok Liang berkata, MATTA akan terus menyokong kerajaan dan Tourism Malaysia dalam membangunkan India sebagai pasaran sumber pelancongan yang kukuh.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menambah laluan baharu dan meningkatkan kekerapan penerbangan bagi penerbangan berjadual dan meneroka kebolehlaksanaan penerbangan catar untuk memenuhi permintaan pasaran.