MATTA harap Belanjawan 2019 pacu industri pelancongan

KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) memuji langkah Kementerian Kewangan mewujudkan geran padanan RM100 juta kepada syarikat swasta bagi tujuan promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa untuk melonjakkan industri itu, seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata ini kali pertama peruntukan sedemikian diberi kepada industri pelancongan, dan Matta kini menantikan mekanisme serta syarat pelaksanaannya.


"Peruntukan geran padanan ini akan memberi manfaat kepada agensi pelancongan tempatan, terutamanya yang sentiasa aktif dengan promosi di luar negara bersama Matta menerusi misi jualan di China, India, negara Asean dan Eropah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tan juga menyifatkan sebagai tepat, langkah untuk menetapkan keperluan bagi enjin tempahan dalam talian luar negara untuk berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan mengenakan cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan dalam talian  luar negara.


Beliau berkata penguatkuasaan cukai perkhidmatan terhadap enjin tempahan dalam talian  luar negara dan menahan cukai ke atas komisen yang dibayar kepada mereka akan memberi peluang sama rata kepada peserta industri pelancongan untuk berjaya.

Tan menarik perhatian bahawa peruntukan RM500 juta menerusi SME Bank akan memacu perkembangan pelancongan di luar bandar, seperti menaik taraf ekosistem bagi inap desa, menggalakkan lebih banyak penduduk luar bandar melibatkan diri dalam pelancongan berasaskan komuniti, menawarkan kemudahan lebih baik di pusat rekreasi dan pelancongan misalnya tandas awam, serta mengkomersialkan produk ekopelancongan merangkumi hidupan liar tempatan sehinggalah kebudayaan, kesenian dan kraftangan orang tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Matta membayangkan bahawa Pulau Pinang bakal muncul sebagai  'pelabuhan permulaan’ yang akan membawa manfaat kepada pelancongan pelayaran di Pulau Pinang dan menjana kesan berganda ekonomi yang lain, serta menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewujudkan kedai bebas cukai di Pelabuhan Swettenham, Pulau Pinang.

Mengenai cukai pelancongan, Tan berharap tidak wujud cukai bertindih bagi memastikan pulangan yang maksimum.

"Penggunaan peruntukan ini perlu diarah dan didorong oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bagi memastikan matlamat pelancongan kebangsaan dapat dicapai, manakala di peringkat negeri pula memberi tumpuan kepada produk dan tarikan pelancongan untuk menjadikannya unik serta menakjubkan," katanya.

Memandangkan  sasaran ketibaan  30 juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah penting dan memerlukan perhatian segera, Tan berkata kempen promosi antarabangsa perlu dijalankan dalam cara yang bersepadu.- Bernama

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/matta-harap-belanjawan-2019-pacu-industri-pelancongan-1.900968