Sasar tarik 683,000 pelancong India tahun ini

PUTRAJAYA 27 April - Malaysia menyasarkan kedatangan sebanyak 683,000 pelancong India pada tahun ini.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pada tahun lalu seramai 600,311 pelancong India melawat negara ini, meningkat 8.6 peratus berbanding 552,739 orang tahun sebelumnya.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat memudahkan syarat-syarat visa ketibaan (VOA) bagi pelancong dari India dan China sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 berikutan peningkatan kedatangan mereka ke negara ini.

“Tahun lalu, India merupakan penyumbang ketujuh terbesar pasaran pelancongan Malaysia.

“India dan Malaysia kini dihubungkan dengan 222 kali penerbangan seminggu menawarkan 39,320 tempat duduk.

“Dengan pelbagai usaha yang dilakukan termasuk kemudahan visa, kita mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelancong India ke Malaysia,” katanya berucap merasmikan MATTA Traxel Exchange Mart (MTEX) 2019 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab. Turut hadir, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang.

Program itu dihadiri oleh lebih 82 pemain industri pelancongan tempatan dan 150 pembeli dari rantau ASEAN dan India.

Menurut Musa, tahun lalu Malaysia mencatatkan kedatangan lebih 18. 11 juta pelancong dari rantau ASEAN dengn nilai RM48. 5 bilion, turun tujuh peratus berbanding 19.4 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kedatangan pelancong sebanyak 30 juta dengan nilai RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Saya yakin, Tahun Melawat Malaysia 2020 sangat signifikan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga mampu mengetengahkan kepelbagaian yang kita ada sebagai tarikan,” katanya.

Dalam majlis itu, MATTA turut menandatangani perjanjian dengan Grabini Malaysia Sdn. Bhd. dalam usaha mewujudkan aplikasi untuk membantu ahli-ahlinya memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa dengan lebih cepat dan mudah.

Pelancaran aplikasi itu dijangka dilakukan pada akhir suku ketiga atau awal suku keempat tahun ini. - UTUSAN ONLINE

Source: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sasar-tarik-683-000-pelancong-india-tahun-ini-1.890118