Peru minat tingkat kerjasama dalam industri pelancongan dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Peru berminat untuk meningkatkan kerjasama dalam industri pelancongan di Malaysia, khususnya untuk membina rangkaian hubungan antara kedua-dua pemain industri terbabit.

Duta Peru ke Malaysia, Guido F. Loayza, berkata usaha itu sekaligus akan meningkatkan produk pelancongan kedua-dua negara dan memacu kegiatan promosi ke peringkat lebih tinggi.

Justeru, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Dewan Perniagaan Kebangsaan Peru (CANATUR) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) hari ini, dilihat dapat memperluaskan penglibatan komuniti perniagaan pelancongan antara kedua-dua negara.

"Terdapat banyak persamaan antara kedua-dua negara dan boleh belajar antara satu sama lain. Salah satu caranya ialah (berkongsi dan belajar persamaan yang ada) menerusi pelancongan.

"Kami (Peru) ingin membina hubungan antara ejen pelancongan kedua-dua negara. Saya percaya (berdasarkan pengalaman), hubungan secara bersemuka adalah kaedah terbaik. Kedua-dua pihak perlu saling mengenali dan ia merupakan cara terbaik untuk mempromosikan industri pelancongan," kata Loayza.

Loayza bercakap kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoU yang diadakan di kediamannya di sini, hari ini. CANATUR diwakili Loayza manakala MATTA diwakili presidennya, Datuk Tan Kok Liang.

Sementara itu, Tan berkata Peru mempunyai banyak destinasi pelancongan menarik yang mampu memikat hati pelancong Malaysia.

"Peru miliki banyak kawasan permandangan indah khususnya produk pelancongan arkeologi dan gastronomik. Rakyat Malaysia juga gemarkan aktiviti mencabar, saya pasti mereka akan melancong ke Peru," katanya.

Pada 2018, seramai 2,307 rakyat Malaysia melawat Peru.

MoU itu yang kedua dimeterai antara kedutaan Peru dengan persatuan pelancongan Malaysia. Sebelum ini pada Mac, MoU yang sama ditandatangani antara Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel, Restoran dan Pertubuhan Peru (AHORA-PERU).

Malaysia menubuhkan kedutaannya di Lima pada 1996 sementara kedutaan Peru ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 1992.

 

Source: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1715489