Industri perhotelan negara rugi RM40 juta

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengesahkan sebanyak 95,000 tempahan hotel telah dibatalkan sehingga menyebabkan industri itu mengalami kerugian sebanyak RM40 juta sejak wabak koronavirus muncul.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, majoriti pembatalan tempahan itu adalah pelancong dari China selepas pemerintah negara itu menghalang agensi pelancongan membawa rakyat mereka ke Malaysia.

“Ini adalah benar. Kebanyakan pembatalan tempahan ini adalah daripada pelancong China," katanya pada pada sidang akhbar mengumumkan pelaksanaan Pameran MATTA Cuti Cuti Malaysia di sini semalam. Kok Liang berkata, larangan penerbangan dari China turut memberi impak kepada industri pelancongan kerana rakyat dari negara itu menyumbang sebanyak 13 peratus daripada jumlah pelancong ke negara ini.

“Komen-komen berita negatif mengenai wabak ini juga menyebabkan pelancong dari negara lain takut untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Kok Liang meminta supaya kerajaan menyegerakan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu industri pelancongan. Katanya, kesan penularan virus itu terhadap sektor pelancongan negara mula dilihat dengan kemerosotan jumlah pelancong di bandar utama seperti Kuala Lumpur.