MATTA lantik Kok Liang jadi presiden penggal kedua

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) melantik semula Datuk Tan Kok Liang sebagai Presiden bagi penggal kedua hingga 2021.

MATTA dalam satu kenyataan berkata, keputusan pelantikan itu dicapai selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke-44 MATTA pada Sabtu lalu.

Ia berkata, Kok Liang mempunyai matlamat dalam memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan peluang perniagaan yang lebih baik untuk ahli dan melengkapkan mereka menghadapi cabaran dalam persekitaran perniagaan yang pesat berkembang.

“Komitmen dan kerja kerasnya mendapat sokongan padu daripada ahli MATTA yang mengakui pencapaiannya dan mempercayainya untuk memimpin MATTA dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Beliau juga berhasrat meneruskan kerjanya dalam mewujudkan lebih banyak peluang dan perniagaan yang lebih baik bagi ahli MATTA. “Ini akan membabitkan manfaat teknologi dalam membantu ahli mengekalkan daya saing dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar,” katanya.