Aplikasi tempahan baru lebih menarik

PERSATUAN Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sedang membangunkan aplikasi baharu bagi tempahan penginapan dalam talian dalam usaha memangkin dan memodenkan industri pelancongan negara.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, pembangunan landasan digital itu bertujuan memudahkan pelancong membuat tempahan penginapan yang selama ini hanya bergantung kepada beberapa enjin tempahan atas talian kendalian pihak luar negara.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 1974, MATTA sudah mempunyai kira-kira 3,200 ahli yang aktif dalam mempromosikan pelancongan negara membabitkan tiket penerbangan, pakej percutian, haji dan umrah selain turut terbabit dalam penyelidikan, pendidikan, latihan serta teknologi industri berkenaan.

“Sebagai organisasi yang mewakili majoriti agensi dan pengendali pelancongan negara kami akan terus membantu memangkinkan industri bersama kerajaan yang baharu.

“Ini membabitkan beberapa aspek tertentu yang perlu diperbaharui termasuk memodenkan industri membabitkan pemasaran di mana MATTA sedang mewujudkan aplikasi carian dan tempahan penginapan dalam talian untuk bersaing dengan enjin tempahan kendalian pihak luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Makan Malam Tahunan MATTA di Ipoh, malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Kok Liang berkata, selama ini pihaknya memang sudah mempunyai enjin tempahan dalam talian namun ia tidak begitu efektif dan bermula tahun depan pihaknya akan mempunyai aplikasi yang lebih menarik dan berdaya saing.

“MATTA sedang dalam proses menawarkan tender bagi melantik pembekal perkhidmatan yang akan membangunkan aplikasi enjin tempahan atas talian itu dan kami juga sedang bekerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia dalam memastikan senarai hotel ditawarkan melalui aplikasi baru itu adalah kompetitif dengan enjin tempahan atas talian luar negara.

“Kami sedang menyediakannya dan akan melancarkannya pada Jun tahun depan serta berharap pelancong kelak akan membuat carian serta tempahan penginapan melalui aplikasi itu dengan tidak lagi bergantung pada enjin carian luar negara yang tidak menyumbang kepada pendapatan negara daripada segi pembayaran cukai,” katanya.

Menurutnya, selain pembangunan aplikasi baharu itu, pihaknya juga akan membantu kerajaan memodenkan industri pelancongan membabitkan aspek perundangan yang perlu diperbaiki mengikut peredaran zaman.

“Antaranya adalah akta membabitkan pengendali pelancongan haram yang perlu diperketatkan lagi dan kami berharap kerajaan akan terus membanteras kegiatan ini bukan sahaja yang beroperasi melalui pejabat tetapi juga di media sosial seperti Facebook.

“Kegiatan pengendali pelancongan haram ini mengakibatkan agensi dan pengusaha berdaftar mengalami kerugian susulan kehilangan pelanggan,” katanya.

Gambar Muhaizan Yahya

Source: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/355695/aplikasi-tempahan-baru-lebih-menarik