MATTA Fair 2020 ditunda kepada 1 hingga 3 Mei - MATTA

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menjelaskan, penganjuran MATTA Fair 2020 telah ditunda kepada 1 hingga 3 Mei ini.

MATTA dalam kenyatannya hari ini berkata, tarikh asal berlangsungnya acara itu pada 13 hingga 15 Mac, sudah dipinda kepada tarikh baharu berkenaan.

"Sehubungan itu MATTA meminta memperbetulkan kenyataan akhbar yang merujuk kepada artikel bertajuk 'MATTA teruskan pameran pelancongan 13-15 Mac' yang disiarkan melalui Berita Harian, hari ini.

"Untuk makluman, MATTA sudah mengeluarkan kenyataan media mengenai penundaan tarikh MATTA Fair ke 1 hingga 3 Mei pada 6 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, MATTA juga meminta media menggunakan akronim yang tepat bagi merujuk kepada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Malaysian Association of Tour and Travel Agents) dan bukannya Persatuan Agensi Pelancong Malaysia.

"Ia bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul dalam pasaran dan bagi menjawab kemusykilan orang ramai yang menghubungi Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang dan persatuan sendiri," katanya.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/655529/matta-fair-2020-ditunda-kepada-1-hingga-3-mei-matta