Sekarang adalah masa yang sesuai untuk perjalanan domestik - MATTA

GEORGE TOWN, 6 Ogos  -- Penggiat pelancongan negeri termasuk Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) telah sebulat suara bersetuju bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia melancong dalam negara.

Pengerusi MATTA Pulau Pinang ,Vergis Mathews berkata penggiat industri utama di wilayah utara telah mempromosikan pelancongan domestik secara agresif untuk memulihkan sektor pelancongan.

"Selepas tempoh penularan COVID-19, kami telah menyusun pakej pelancongan baharu dengan struktur harga yang dinamik di pasaran domestik bagi menunjukkan kepada dunia bahawa kami sudah bersedia," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata Pameran MATTA tahun ini akan diadakan secara dalam talian antara 9 dan 15 September, ia juga akan memberi tumpuan kepada mempromosikan pelancongan domestik di seluruh negara.

"Cuti sekolah dan Hari Merdeka yang akan menjelang tiba ini adalah masa yang paling sesuai untuk rakyat Malaysia melancong dalam negara," katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang telah mencatatkan kira-kira 680 pelancong domestik ke negeri tersebut setiap hari.

Awal hari ini, Vergis telah menghadiri pelancaran sesi rangkaian perniagaan ke perniagaan (B2B) anjuran MATTA Kedah dan Perlis dengan Exco Pelancongan Kedah.

Seramai 33 ahli MATTA dari Kedah dan 19 ahli dari Pulau Pinang menyertai sesi B2B itu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad

Turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Ahmad Husni Ahmad Basri, Pengerusi MATTA Kedah, Mohd Yusin Mohd Yatim dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism, Ooi Chok Yan.

Sementara itu, Mohd Firdaus berkata program itu adalah untuk membantu ejen pelancongan untuk mengemas kini kedudukan semasa di kalangan ahli MATTA di Pulau Pinang dan Kedah setelah sektor pelancongan terjejas akibat penularan COVID-19.

"Sesi B2B itu akan dapat membantu ahli MATTA untuk memahami status mereka ketika ini, berapa banyak kerugian ditanggung mereka alami akibat penularan COVID-19 serta untuk berkongsi dan bertukar pendapat dan strategi mereka untuk memulihkan perniagaan mereka," katanya.

Sesi B2B itu diadakan di Perak pada 5 Ogos lepas.

Beliau berharap program yang sama dapat diadakan di Klang, Kuala Lumpur, Johor dan Sabah pada masa akan datang.

-- BERNAMA

Source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1867962