Pakej pelancongan ke Hong Kong tidak terjejas

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Permintaan pakej pelancongan ke Hong Kong tidak terjejas walaupun berlaku rusuhan penunjuk perasaan di negara terbabit buat masa ini.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, syarikat pelancongan di negara ini walau bagaimanapun mengambil pendekatan berhati-hati termasuk mengelakkan daripada melawat ke kawasan yang terjejas di negara itu.

"Sekarang ini adalah low season (kurang sambutan) di Hong Kong. Apa yang kita lihat, tiada kesan kepada pengusaha atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej ke sana.

"Wisma Putra juga masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Kami ingin menasihatkan kepada semua pelancong agar memaklumkan kepada Wisma Putra jika ke Hong Kong, supaya tindakan dapat diambil jika berlaku sebarang kemungkinan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hong Kong dilaporkan bergolak lebih sebulan apabila penduduknya mengadakan tunjuk perasaan aman di samping beberapa insiden konfrontasi ganas yang tercetus susulan tindakan kerajaan memperkenalkan rang undang-undang untuk membenarkan ekstradisi ke China dan beberapa negara lain.