Syor kecualikan cukai hiburan

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA) mencadangkan kerajaan mengecualikan cukai hiburan berjumlah 25 peratus dalam usaha mengekang kesan ekonomi COVID-19.

Ia bagi menarik lebih ramai pelawat domestik mengunjungi 82 taman tema di seluruh negara.

Presidennya, Tan Sri Richard Koh, berkata pengecualian cukai berkenaan menjadi satu keperluan yang perlu diteliti kerajaan, memandangkan cukai yang termaktub dalam Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103) tidak lagi relevan dengan operasi semua taman tema yang wujud di Malaysia.

Katanya, cukai hiburan pada awalnya dikenakan disebabkan wujudnya perjudian atau pertandingan, namun semua taman tema di Malaysia tidak lagi menawarkan produk sedemikian tetapi beralih kepada hiburan keluarga.

“Kami cadangkan kerajaan mansuhkan cukai hiburan kerana kadar 25 peratus amat tinggi yang mana menjejaskan pendapatan operator taman tema dan menyebabkan harga tiket masuk yang lebih tinggi dikenakan kepada pengunjung.

“MAATFA dalam proses mengemuka cadangan berkenaan kepada Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kewangan (MOF) dalam masa terdekat,” katanya selepas sidang media Pameran Cuti-Cuti Malaysia anjuran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, KetuaPegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng dan Ahli Majlis Eksekutif MATTA, Rocky Kho.

Cukai Hiburan berjumlah 25 peratus mula diperkenalkan pada Oktober 2001, namun difahamkan, ketika era pemerintahan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, cukai berkenaan dikecualikan sebelum dikembalikan selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih cucuk pimpinan.

Ketika ini, ada kira-kira 82 taman tema beroperasi di Malaysia. MAATFA memiliki 52 ahli yang juga pengendali taman tema setakat ini.

Richard berkata, MAATFA juga dalam proses mengemukakan cadangan pemansuhan berkenaan kepada kerajaan negeri di seluruh negara.

Katanya, buat masa ini, hanya Melaka menyemak semula kadar cukai hiburan kepada 10 peratus buat masa ini susulan penularan COVID-19.

“Sebelum ini, cadangan kami untuk mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diluluskan kerajaan. Jadi kita amatberharap cadangan (cukai hiburan) juga diterima baik dan dihapuskan oleh kerajaan.

“Taman Tema sekarang bukan macam dulu. Bila cukai hiburan dimansuhkan banyak manfaat diperoleh bukan saja kepada operator, malah turut membabitkan pengunjung yang rata-ratanya datangnya dari golongan pertengahan,” katanya.