Kerjasama Banteras Ejen Palsu

Persatuan Ejen- Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) untuk membanteras ejen pelancongan tidak berlesen. Ini kerana penularan penawaran pakej pelancongan tidak berlesen terutama di media sosial mampu memberi kesan negatif kepada pengguna yang mengakibatkan kes penipuan wang.

Setiausaha Agung Kehormatnya Nigel Wong berkata, ejen pelancongan tidak berlesen juga adalah entiti yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka secara sah kepada pihak berkuasa.Katanya, setiap ejen pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC sentiasa dipantau aktiviti perniagaan mereka terutama bagi mengelakkan berlakunya aktiviti penipuan kepada pengguna. “Kami dapati terlalu banyak pakej pelancongan khasnya ke luar negara ditawarkan pihak tidak berdaftar dan perkara ini amat membimbangkan kerana kita khuatir mereka melakukan aktiviti penipuan.

MATTA FAIR ke-46 bakal berlangsung pada 7 hingga 9 September depan bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Setakat ini ia menerima penyertaan 237 syarikat pelancongan yang berdaftar. Sebanyak 1,356 gerai dengan keluasan 29,000 kaki persegi membabitkan tujuh dewan juga sudah ditempah. Jumlah itu meningkat berbanding 1,353 gerai pada Mac lalu.

“Kami turut menyasarkan 100,000 pengunjung hadir ke MATTA FAIR kali ini dan RM1 daripada yuran masuk (RM4) disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia,” katanya.