MATTA gesa syarikat penerbangan beri bayaran balik tunai pembatalan penerbangan

KUALA LUMPUR, 8 April -- Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa syarikat penerbangan memberikan bayaran balik tunai kepada para pelanggan yang terlibat dalam pembatalan penerbangan akibat pandemik COVID-19.

Naib Presiden MATTA bagi penerbangan udara Shazli Affuat Ghazali berkata syarikat penerbangan perlu menjadikan bayaran balik tunai sebagai keutamaan mereka dan bukan mengeluarkan nota kredit yang mungkin mempunyai sedikit nilai atau tidak bernilai sekiranya syarikat penerbangan ini tidak mampu membayar.

“Walaupun mereka diberi jaminan atau pinjaman untuk memulakan semula operasi selepas pandemik ini berakhir, mereka perlu membuat bayaran balik tunai terlebih dahulu bagi mengekalkan keyakinan rakyat dan ia adalah perkara utama untuk memulangkan bayaran daripada pelanggan bagi perkhidmatan yang tidak diberikan akibat keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan perlu membuat bayaran balik sepenuhnya bagi pembayaran daripada pelanggan dan ejen pelancongan tanpa menggunakan terma dan syarat-syarat pada waktu biasa, namun, bukan pada waktu pandemik, katanya.

“Syarikat penerbangan juga tidak sepatutnya membezakan antara tempahan kumpulan bagi Lawatan Kumpulan Inklusif (GIT) dan Lawatan Kembara Bebas (FIT). Layanan yang adil akan mempercepatkan bayaran balik dan pemulihan pasca pandemik,” katanya.

Shazli Affuat berkata beliau kesal dengan sikap berdiam diri pihak berkuasa termasuk Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Menurutnya satu daripada peranan MAVCOM ialah menyediakan mekanisme untuk melindungi pengguna.

Suruhanjaya itu seharusnya mengumumkan secara terperinci mengenai langkah-langkah yang sedang dilaksanakan atau akan diperkenalkan kepada pelanggan untuk mendapat semula wang mereka.

“Walaupun agak sukar bagi pelanggan individu menunggu pembayaran balik dalam tempoh masa yang tidak pasti, masalah itu adalah lebih berat dalam kalangan ejen pelancongan yang terpaksa berdepan kemarahan pelanggan.

“Kementerian Pengangkutan mesti mengambil perhatian bahawa syarikat penerbangan adalah yang pertama dalam rantaian bekalan ini dan setiap tindakan yang diambil haruslah memberi manfaat kepada seluruh industri pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata MATTA berharap kementerian berkenaan akan mengeluarkan arahan kepada syarikat penerbangan termasuk memberi notis kepada penumpang dan ejen pelancongan bahawa pembatalan biasa dan caj tempahan semula tidak akan dikenakan mulai penularan virus sehingga ia berakhir, menyediakan bayaran balik tunai atau kredit tersedia yang boleh digunakan dalam tempoh tiga tahun selain pembayaran semula kerana penerbangan dibatalkan termasuk fi sampingan.

-- BERNAMA

Source: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1829920