Kuala Lumpur: Agensi pelancongan di Malaysia mendakwa berdepan kerugian apabila lebih 100 kumpulan pelancong dalam skala kecil dan besar membatalkan pakej percutian ke negara ini berikutan penularan wabak coronavirus (2019-nCoV).
Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Tan Kok Liang, berkata jika wabak itu berlarutan, perkembangan industri pelancongan pada peringkat global pasti terjejas.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan anggaran kerugian ditanggung penggiat industri pelancongan, namun menyifatkan negara mungkin kehilangan 2.5 juta pelancong tahun ini kesan penularan wabak berkenaan.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, impaknya tentu lebih besar. Setakat ini, pelancong masuk dan keluar di antara Malaysia dan China dihentikan berikutan dasar kuarantin ke atas rakyat republik itu yang menyekat perjalanan ke luar negara,” katanyadalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, faktor lain yang menyebabkan kerugian kepada industri pelancongan negara ialah apabila beberapa syarikat penerbangan mengambil langkah membatalkan perjalanan masuk dan keluar ke China.
Justeru, beliau berharap langkah serius diambil bagi membantu industri pelancongan, khususnya mengembalikan kepercayaan pelancong dalam dan luar negara yang terkesan susulan peningkatan kes wabak coronavirus di seluruh dunia.
“Rakyat Malaysia juga mengambil langkah berhati-hati dengan tidak melancong ke China, selain tindakan pembatalan sementara penerbangan dari Kota Kinabalu ke Wuhan,” katanya.
Di Kota Kinabalu, BERNAMA melaporkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata semua penerbangan dari Sabah ke Wuhan telahdihenti akibat wabak berkenaan.
“Setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan yang akan beroperasi semula apabila wabak coronavirus dapat diselesaikan.
Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan, penerbangan ke wilayah lain di China masih seperti biasa,” katanya selepas Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri, semalam.
Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata, tidak dinafikan ia menjejaskan kehadiran pelancong khususnya dari China.