MATTA mahu kelulusan pembiayaan pelancongan dipercepat

KUALA LUMPUR: Bank yang menyertai Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion perlu mempercepatkan kelulusan dan agihan skim berkenaan.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) , Datuk Tan Kok Liang, berkata skim di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang kini dibuka permohonannya itu mampu meringankan aliran tunai syarikat pelancongan untuk pulih semula daripada impak negatif penularan COVID-19 terhadap operasi mereka.

Justeru, katanya, MATTA amat berharap bank peserta kepada skim pembiayaan itu dapat memastikan kelulusan dan agihan pembiayaan dilaksanakan dengan pantas, telus dan lancar.

"Ini (skim pembiayaan) adalah baik dan ia akan membantu syarikat pelancongan PKS untuk meneruskan kelangsungan pasca COVID-19.

"Dengan moratorium akan berakhir 30 September ini, (bantuan) aliran tunai untuk kos overhed menerusi inisiatif PENJANA adalah amat dinanti-nantikan ," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai pembukaan permohonan skim pembiayaan itu.

MATTA ketika ini mempunyai kira-kira 3,700 ahli.

Mengulas mengenai jumlah pembiayaan, Kok Liang berkata, jumlah pembiayaan yang disediakan iaitu sehingga RM75,000 kepada perusahaan mikro dan sehingga RM300,000 kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS) dilihat munasabah.

Jelasnya, jumlah pembiayaan yang ditawarkan itu adalah sesuai dengan mengambil kira saiz perniagaan, pendapatan dan jumlah pekerja bagi perusahaan mikro, enterpris dan PKS yang terbabit dalam sektor pelancongan.

Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion itu adalah inisiatif kerajaan di bawah PENJANA bagi membantu PKS dan perusahaan mikro tempatan memulihkan sektor pelancongan yang terjejas berikutan penularan COVID-19.

Skim itu juga bertujuan bagi mengekalkan keupayaan PKS dan perusahaan mikro tempatan serta membantu mereka membuat penyesuaian dan meningkatkan daya saing selepas negara pulih daripada COVID-19.

PKS dan perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corp Malaysia atau yang dilesenkan oleh/didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam sektor pelancongan teras dan sektor berkaitan pelancongan layak memohon skim pembiayaan berkenaan.

Sebanyak 12 institusi kewangan akan terbabit dalam skim pembiayaan berkenaan iaitu Affin Bank Bhd/Affin Islamic Bank Bhd; Alliance Bank Malaysia Bhd/Alliance Islamic Bank Bhd; AmBank (M) Bhd/AmBank Islamic Bhd; Bank Islam Malaysia Bhd; Bank Muamalat Malaysia Bhd; Bank Simpanan Nasional; CIMB Bank Bhd/CIMB Islamic Bank Bhd; Hong Leong Bank Bhd/Hong Leong Islamic Bank Bhd; Maybank Islamic Bhd; Public Bank Bhd/Public Islamic Bank Bhd; RHB Bank Bhd/RHB Islamic Bhd dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2020/07/716798/matta-mahu-kelulusan-pembiayaan-pelancongan-dipercepat