KENAIKAN HARGA HOTEL MENDADAK DI MEKAH DAN MADINAH

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2023 – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) ingin memaklumkan kepada jemaah umrah berkaitan kadar kenaikan harga hotel di Kota Mekah dan Madinah yang naik mendadak mengakibatkan harga pakej umrah yang telah ditetapkan oleh segelintir agensi pelancongan terpaksa dinaikkan pada saat akhir sebelum jemaah berlepas ke tanah suci.

Kenaikan harga ini dipercayai berpunca daripada permintaan yang tinggi di hotel terutamanya di Kota Madinah berikutan peningkatan jumlah jemaah umrah di seluruh dunia apabila kerajaan di negara masing-masing membuka sempadan selepas situasi pandemik COVID-19 beransur pulih.

“Bukan harga hotel sahaja yang meningkat, malah harga pengangkutan dan tiket penerbangan juga semakin membebankan khususnya ketika musim kemuncak. Hal ini dikhuatiri menimbulkan kemarahan jemaah umrah yang mendesak untuk menurunkan kadar pakej umrah bagi mengekalkan harga yang ditawarkan oleh agensi pelancongan masing-masing,” kata Naib Presiden Haji dan Umrah MATTA, Haji Mohd Azri bin Abd Razak.

Menurutnya, pihak agensi pelancongan juga menghadapi kesukaran mendapatkan pengesahan tempahan walaupun telah menjelaskan bayaran penuh kepada pihak hotel. Kenaikan harga mendadak oleh pihak hotel juga membuatkan agensi pelancongan tersepit dan tiada pilihan selain menaikkan harga pakej terhadap jemaah umrah.

Dengan keadaan dan kecelaruan yang berlaku sekarang, pihak MATTA meminta agar semua jemaah umrah untuk bersabar dan memahami situasi ketidaktentuan yang berlaku di Madinah dan Mekah.

Pihak MATTA juga mendapat aduan berkenaan kesulitan membawa pulang air Zam-Zam oleh jemaah umrah, terutamanya di lapangan terbang Jeddah dan telah mengutarakan isu tersebut kepada Saudi Tourism Authority (STA) untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kebenaran membawa pulang air Zam-Zam menggunakan visa pelancong.

MATTA berharap dapat mengadakan pertemuan bersama pihak MOTAC untuk berbincang dan menangani isu yang serius sebegini agar pihak jemaah tidak menyalahkan agensi pelancongan sepenuhnya terhadap keadaan yang berlaku di Madinah dan Mekah dari sudut aspek kenaikan harga hotel, pengangkutan dan tiket penerbangan.

 

HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah
Sesi 2021 – 2023