PENETAPAN SOP BAHARU AKTIVITI UMRAH DISAMBUT BAIK SELARAS CADANGAN MATTA

Kuala Lumpur, 9 Februari 2022 – Persatuan Ejen – Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyambut baik kenyataan Menteri Kanan Pertahanan Malaysia berkenaan penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi aktiviti umrah berkuatkuasa 14 Februari ini.

Naib Presiden Umrah & Haji MATTA, Haji Mohd Azri Abd Razak berkata pihaknya amat berbesar hati dengan keputusan Mesyuarat Kuartet yang membenarkan kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan HQA bagi jemaah yang pulang dari Mekkah dan memberi pilihan kepada mereka untuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin swasta dengan kos penginapan, makan minum dan rawatan ditanggung sendiri oleh jemaah.

Kementerian  Kesihatan (KKM) juga telah mengumumkan tempoh kuarantin wajib dikurangkan kepada 5 hari sahaja bagi jemaah dan pengembara dari luar negara yang pulang ke Malaysia dan sudah lengkap dos penggalak.

Sementara itu, pihak Kementerian Haji dan Umrah Saudi telah mengumumkan bahawa pengembara yang tiba di Saudi tidak lagi perlu mengemukakan sijil vaksinasi Covid-19 berkuatkuasa 9 Februari 2022. Pengembara hanya perlu mengemukakan keputusan PCR negatif dalam tempoh 48 jam dari tarikh berlepas ke Saudi.

Pihak MATTA menyarankan kepada semua jemaah yang ingin membuat ibadah Umrah mestilah mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MOTAC dan KKM sendiri. MATTA juga menyeru kepada semua bakal jemaah untuk mengambil dos penggalak supaya dapat mengurangkan risiko dijangkiti virus Omicron yang semakin meningkat buat masa ini dan sentiasa menggunakan RTK antigen untuk memantau tahap kesihatan supaya berada di tahap yang optimum.

MATTA juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menjalankan sesi libat urus bersama ahli-ahli agensi pelancongan MATTA. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak MOTAC dan KKM kerana telah membenarkan pembukaan semula aktiviti Umrah yang bermula pada 8 Februari 2022. 

Dengan pembukaan semula umrah diharap akan memberi sinar agar industri umrah terus memacu ke hadapan demi keseimbangan di dalam sektor ekonomi dan memberi kemaslahatan kepada semua bakal-bakal jemaah umrah dan Haji di Malaysia.

HAJI MOHD AZRI BIN ABD RAZAK
Naib Presiden Haji & Umrah

Sesi 2021 – 2023